Tuesday, January 12, 2010

GAGAL BERERTI SEMAKIN HAMPIR DENGAN KEJAYAAN

Saya pernah berjumpa seorang ejen pelaburan yang mengadakan temujanji membentangkan beberapa pelan pelaburan jangka panjang. Selepas meluangkan masa selama 45 minit dengannya, saya tidak berminat dengan pelan yang ditunjukkan dan mengambil keputusan menolaknya. Saya memberitahunya dengan sopan, supaya dia tidak kecil hati setelah 45 minit ‘membazirkan’ masa bersama saya. Saya menjangkakan, sekurang-kurangnya dia berasa sedikit kecewa.

Tetapi jangkaan saya silap. Apabila saya mengatakan tidak ingin meneruskan dengan produk pelaburan tersebut, dia tersenyum, memandang saya dengan positif dan berkata, “Terima kasih encik, kerana sudi bertemu dengan saya.” “Wah! Positif budak ini.” ujar hati saya.

“Awak tidak rasa sedihkah?” Saya berteus-terang sahaja. Senang cerita. Dia pun memandang saya dan berkata, “Mengikut kebiasaan kami, daripada temu janji dengan prospek, hanya 3 daripada 10 yang bersetuju menjadi pelanggan. Hari ini baru 5 orang yang menolak dan encik adalah orang yang keenam. Ini bermakna, saya semakin hampir mendapat 3 orang pelanggan pada hari ini. Sekiranya encik tidak melabur dengan kami pun, sekurang-kurangnya encik mendekatkan saya kepada matlamat saya pada hari ini!” Terangnya dengan teratur. Saya hanya tersenyum.

Perkara yang hampir sama saya dengar daripada seorang jurutera syarikat petroleum multinasional. Dia berkata, daripada 20 penggalian telaga minyak, hanya 1 yang benar-benar mempunyai petroleum. Apabila mereka menggali di satu kawasan dan didapati tidak ada minyak, mereka menjadi semakin bersemangat terus menggali lagi. Kenapa?? Kerana mereka tahu yang mereka semakin hampir mencapai apa yang mereka inginkan. Anda tahu berapa kos menggali satu telaga minyak? Kosnya mencecah jutaan ringgit!!

“ANDA BUKAN GAGAL, TETAPI BELUM BERJAYA. JANGAN BERHENTI KETIKA KEJAYAAN SUDAH BERSEDIA UNTUK ANDA”

No comments:

Post a Comment